JOHOR BAHRU: Peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai yang berlangsung hari ini mencapai 90 peratus.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan memaklumkan peratusan tersebut melibatkan seramai 831 daripada 927 pegawai dan anggota polis.

"SPR meramkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.

"Penghargaan dan terima kasih juga diberikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penerangan Malaysia, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR," katanya dalam kenyataan itu, pada Selasa.

Berdasarkan data SPR sebanyak tiga saluran disediakan di dua pusat pengundian melibatkan 46 pemilih di Balai Polis Kempas, manakala 881 pengundi awal di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua.

Pusat pengundian awal PPM Wilayah Dua ditutup pada 5 petang, sementara Balai Polis Kempas di Kempas ditutup pukul 12 tengah hari tadi.

PRK Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat, calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Bagaimanapun, tiada pengundian awal untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.