JAKARTA: Malaysia dan Indonesia kini berada di peringkat akhir rundingan bagi memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) baharu berhubung pekerja domestik dan penjaga bagi menggantikan perjanjian sedia ada yang akan tamat pada April 2027.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, Malaysia telah menyiapkan draf awal MoU berkenaan dan menyerahkannya kepada pihak Indonesia untuk penelitian dan perbincangan lanjut.
“A zero draft agreement kami dah selesai dan kami telah hantar kepada pihak rakan sejawat saya.
“Kita sedang di peringkat terakhir untuk mengadakan satu dokumen untuk ditandatangani pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program Salam Dari Malaysia di Jakarta, Selasa malam.
Ramanan berkata, pertemuan dengan Menteri Pelindungan Pekerja Migran Indonesia Mukhtarudin berlangsung pada Selasa dan kedua-dua pihak mengadakan perbincangan secara teliti mengenai isu pekerja domestik serta penjaga.
“Dalam perbincangan ini, ada yang kita telah setujui, ada yang belum disetujui, ada yang kita hampir setujui dan ada yang kita tidak dapat setujui.
“Tetapi saya boleh beri kepastian bahawa mesyuarat telah berlangsung dengan bagus, kita memang melihat eye to eye dan kedua-dua pihak melihat daripada sudut majikan dan juga pekerja,” katanya.
Ditanya sama ada Indonesia mengemukakan sebarang permintaan khusus dalam MoU itu, termasuk kemungkinan penambahan kuota pekerja, Ramanan berkata, Malaysia tidak lagi menggunakan sistem kuota bagi pengambilan pekerja asing.
“Memang permintaan itu wujud daripada rakan sejawat saya, Menteri, dan saya telah terangkan kepada beliau bahawa kuota ini tidak wujud lagi,” katanya.
Beliau berkata, jawatan kosong akan diiklankan menerusi portal MYFutureJobs dengan keutamaan diberikan kepada rakyat Malaysia.
“Kalau tidak ada mana-mana taker, tidak ada orang yang mengambil peluang pekerjaan tersebut, kita akan buka kepada pekerja asing dan mereka boleh mengisi kekosongan tersebut,” katanya.
-- BERNAMA