PAGOH: Seramai 56 calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan mengangkat sumpah menolak rasuah dan salah guna kuasa pada Khamis.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bagi membuktikan kesungguhan parti gabungan itu dalam membentuk sebuah kerajaan Johor yang berintegriti dan berpegang kepada prinsip bersih.

"Esok saya akan ke Johor Bahru lagi di mana semua calon kita seramai 56 orang akan angkat sumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak akan melakukan rasuah dan salah guna kuasa ataupun perkara yang boleh merosakkan negeri Johor.

"Ini menunjukkan kesungguhan kita untuk membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti yang berpegang kepada prinsip bersih, cepat dan tidak melakukan apa-apa yang boleh memudaratkan.

"Jadi, bagi saya itu penting dan kita kekalkan soal pembangunan ekonomi dan pemulihan ekonomi negeri Johor," katanya kepada pemberita selepas sesi santai bersama masyarakat Cina di Dewan Undangan Negero (DUN) Gambir di sini, pada Rabu.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu lagi, sebuah jawatankuasa khas akan ditugaskan bagi memantau ikrar yang dibuat oleh PN, sekiranya parti tersebut diberikan mandat oleh pengundi Johor pada PRN Johor, 12 Mac ini.

Tambah bekas Perdana Menteri itu, jawatankuasa khas tersebut akan dipilih daripada golongan profesional dan tokoh-tokoh Johor.

"Kita telah membentuk banyak perkara jadi saya harap pengundi Johor akan meneliti perkara itu.

"Kalau kita terpilih dan berupaya membentuk kerajaan, apa yang kita ikrarkan ini akan dipantau oleh sebuah jawatankuasa khas.

"Janji ini bukan janji kosong... kita berpendapat di mana sekarang adalah cepatkan pemulihan negeri Johor," katanya.

Dalam masa yang sama, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu berpandangan pembukaan sempadan negara perlu dilakukan demi memulihkan ekonomi Johor dengan lebih cepat.

Pada PRN Johor kali ini, PN bertanding di semua 56 kawasan DUN melibatkan 33 calon daripada Bersatu, Pas (15) dan Gerakan (lapan).