JOHOR BAHRU: Isu setinggan dan pencemaran sungai merupakan perkara utama yang mahu diketengahkan calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa Steven Choong Shiau Yoon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Choong yang juga Ahli Parlimen Tebrau berkata dua masalah itu perlu diselesaikan segera supaya penduduk selesa, sekali gus dapat menikmati alam sekitar yang bersih.

DUN Puteri Wangsa merupakan satu daripada dua kawasan DUN dalam Parlimen Tebrau.

"Terdapat penduduk setinggan tinggal secara sementara di kawasan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selama 23 tahun. Tiga perempat Sungai Tebrau adalah di kawasan Puteri Wangsa, keadaan sungai kotor dan amat mengecewakan," katanya dalam temubual eksklusif bersama Bernama.

Beliau berkata penduduk setinggan harus dipindahkan di tempat perumahan baharu dan ditawarkan rumah mampu milik.

"Selepas penduduk setinggan dipindahkan, tapak tersebut akan dibangunkan sebagai tempat rekreasi. Kalau saya jadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) lebih mudah saya berunding dengan kerajaan negeri untuk serah tanah kepada kerajaan pusat, supaya perumahan dapat dibuat dan penduduk setinggan dapat masuk. Kita selesaikan masalah setinggan di Tebrau, jadi air Sungai Tebrau akan kembali bersih," katanya.

Choong, 64, berdepan saingan enam penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN) iaitu Ketua MCA Tebrau Ng Yew Aik, calon Perikatan Nasional Loh Kah Yong, Khairil Anwar Razali daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Amira Aisya Abd Aziz dan calon Bebas Adzrin Adam.

Choong memenangi kerusi Parlimen Tebrau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mewakili PKR. Pada Februari 2021, Choong mengesahkan beliau dan Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien keluar PKR dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau kemudian menyertai PBM yang didaftarkan pada 27 Okt lepas dan merupakan antara empat individu yang diumum sebagai calon PBM bagi PRN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 12 Mac ini manakala undi awal pada 8 Mac.

-- BERNAMA