Skip to main content

Malaysia

PRN Melaka: 94.96 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab - SPR

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa kotak berisi kertas undi selepas selesai proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini. - Foto BERNAMA
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa kotak berisi kertas undi selepas selesai proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Seramai 94.96 peratus atau 9,417 daripada 9,917 pengundi awal PRN Melaka ke-16 telah melaksanakan tanggungjawab mengundi hari ini.
  • Pengundi awal terdiri daripada anggota tentera, pasangan mereka dan anggota polis, mengundi di 31 pusat mengundi awal di seluruh Melaka.
  • Proses pengundian bermula 8 pagi dan pusat mengundi ditutup secara berperingkat sehingga 5 petang, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.
Advertisement

MELAKA: Sebanyak 94.96 peratus atau 9,417 daripada 9,917 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan memaklumkan kesemua pengundi awal berkenaan mengundi di 31 pusat mengundi awal di seluruh negeri.

"Proses pengundian bermula pada 8 pagi dan kesemua pusat mengundi ditutup secara berperingkat iaitu 19 pusat pada 12 tengah hari, tiga pusat (2 petang) dan sembilan pusat (5 petang)," menurut SPR.

Advertisement

SPR turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran pelaksanaan proses pengundian awal berkenaan termasuk Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia.

Mengikut statistik SPR bagi PRN Melaka ke-16, terdapat 12,531 pengundi awal terdiri daripada 9,769 anggota tentera bersama-sama pasangan dan 2,762 anggota polis.

Advertisement

Daripada jumlah itu, 9,917 orang mengundi awal secara fizikal, manakala 2,614 lagi mengundi secara pos.

SPR menetapkan hari pengundian PRN Melaka ke-16 pada Sabtu ini.

Dapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16 menerusi https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement