Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] PRN Melaka: Amanah optimis rebut tujuh kerusi ditandingi - Mohamad Sabu

Mohamad Sabu berkata ia berdasarkan sokongan anak muda terhadap Pakatan Harapan (PH) selain pendekatan gabungan itu mencalonkan generasi muda. - Foto fail/BERNAMA
Mohamad Sabu berkata ia berdasarkan sokongan anak muda terhadap Pakatan Harapan (PH) selain pendekatan gabungan itu mencalonkan generasi muda. - Foto fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, yakin parti itu mampu menang di semua tujuh kerusi DUN yang ditandingi pada PRN Melaka ke-16.
  • Pemilihan calon muda oleh Pakatan Harapan, termasuk calon termuda PRN Melaka, dibuat berdasarkan kelayakan dan keupayaan tanpa mengetepikan golongan veteran.
  • Hari pengundian PRN Melaka ditetapkan pada 14 November, dengan pengundian awal pada 10 November menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.
Advertisement

ALOR GAJAH: Parti Amanah Negara (Amanah) optimis mampu meraih kemenangan di semua tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia berdasarkan sokongan anak muda terhadap Pakatan Harapan (PH) selain pendekatan gabungan itu mencalonkan generasi muda.

“Amanah bertanding tujuh (kerusi), kita yakin akan menang ketujuh-tujuhnya, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas ceramah kelompok bersama dengan Presiden Parti Amanah di Pengkalan Balak di sini malam tadi. 

Advertisement

Hadir sama ialah calon PH daripada Amanah bagi DUN Kuala Linggi Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah yang menjadi calon termuda PRN Melaka kali ini.

Selain DUN Kuala Linggi, kerusi lain ditandingi Amanah ialah Bukit Katil (Adly Zahari), Durian Tunggal (Datuk Ashraf Mukhlis Minghat), Telok Mas (Kapten (B) Mohamad Jaafar), Merlimau (Rahayu Hamzah), Sungai Rambai (Aminuddin Abdul Jalil) dan Taboh Naning (Junainah Sahat).

Advertisement

Mengenai langkah PH memilih lapan calon muda pada PRN kali ini, Mohamad berkata pemilihan mereka berdasarkan kelayakan dan keupayaan selain memberikan peluang kepada golongan itu tampil lebih awal dalam kepimpinan.

“Kita mengetengahkan mereka dari awal. Kritikan itu biasa, yang muda dikritik, yang tua pun sama. Kalau hendak dikira usia, saya sendiri mula menjadi calon pada 27 tahun,” katanya. 

Mohamad berkata penampilan calon muda tidak bermakna golongan veteran diketepikan kerana penting untuk menggabungkan keupayaan calon daripada pelbagai lapisan usia, termasuk wanita.

Ditanya mengenai cabaran di DUN Bukit Katil yang ditandingi Adly, Mohamad berkata tiada kerusi boleh dianggap selamat, namun beliau yakin pengundi akan membuat pertimbangan sewajarnya pada hari pengundian.

Adly yang juga Pengerusi PH Melaka dan penyandang kerusi itu berhadapan saingan empat penjuru menentang Ridzuan Sarif daripada Perikatan Nasional, Dr Aliza Che Amran (Parti Bersama Malaysia - Bersama) dan Abu Bakar Sabudin (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala pengundian awal pada 10 Nov.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement