KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menamakan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri negeri itu sekiranya memperoleh mandat pada 20 November ini.

Mengumumkan perkara itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN membuktikan bahawa ruang dan peluang sentiasa diberikan kepada mana mana pemimpin yang layak tanpa mengira jantina.

"Ini adalah pertama kali dalam sejarah negara seorang wanita berkelayakan, profesional, muda mempunyai banyak pengalaman ditawarkan calon Ketua Menteri.

"Terbukti bahawa PN sentiasa memberikan ruang kepada sesiapa sahaja tidak kira jantina untuk memegang jawatan penting seperti ini," kata Muhyiddin dalam sidang media di sini, pada Khamis.



Mas Ermieyati calon Ketua Menteri Melaka bagi Perikatan Nasional

Menurut Muhyiddin, pemilihan Mas Ermieyati dibuat pucuk pimpinan selepas mengambil kira pelbagai sudut pengalaman Ahli Parlimen Masjid Tanah itu.

"Di Melaka segalanya bermula, yakni terbukti bahawa Melaka yang melakar sejarah, negeri pertama terpilih menjadi Ketua Menteri dengan harapan 28 calon DUN PN boleh capai kejayaan besar.

"Saya sudah lama turun ke gelanggang di bawah, pengundi Melaka kenali dia (Mas Ermieyati) cukup luas pengetahuan politik.

"Dia (pengundi) tak sebut lelaki atau wanita, tapi mahukan pemimpin ada pengalaman selain kelayakan atau track record, semua ini ada pada Datuk Mas Ermieyati," jelasnya lagi.

Mengulas lanjut berhubung pecutan terakhir PN dalam PRN Melaka pada Sabtu ini, Muhyiddin menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat negeri itu untuk memilih calon yang benar benar layak seperti ditawarkan PN.