Skip to main content

Malaysia

PRN Negeri Sembilan: Aminuddin nafi projek pelabuhan AI libat pengambilan tanah penduduk

TB_ TOK MIN AMINUDDIN HARUN PELABUHAN AI_AWANI
Aminuddin berkata, dakwaan berkenaan tidak berasas kerana projek berkenaan akan dibangunkan di atas tanah milik syarikat swasta. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menolak dakwaan Chegubard, bahawa projek pelabuhan berteraskan kecerdasan buatan (AI) yang dirancang di Pasir Panjang melibatkan pengambilan tanah penduduk kampung.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan dakwaan Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan tersebut tidak berasas kerana projek berkenaan akan dibangunkan di atas tanah milik syarikat swasta.

"Itulah yang saya katakan, PN hanya membawa naratif fitnah dan saya katakan tadi bahawa memang tidak ada seinci pun tanah orang kampung terlibat kerana pihak swasta tersebut mempunyai tanah sendiri yang akan mereka serahkan.

“Mereka (syarikat pemaju) ada tanah sekitar 500 ekar bagi mereka punya Midport, yang kita panggil Midport sekarang. Mereka ada tanah 500 ekar yang sekarang digunakan untuk (padang) golf, tempat main golf.

“Dan memang berhampiran dengan laut yang sebahagiannya kita akan bangunkan kawasan tersebut yang akan menjadi pelabuhan. Tidak kena-mengena dengan pengambilan tanah adat. Di Port Dickson tidak ada tanah adat,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, pada Rabu.

Tambahnya, projek itu juga telah melalui proses kelulusan yang ditetapkan termasuk Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA), selain semua urusan berkaitan tanah telah diselesaikan.

Mengulas dakwaan projek itu bakal memberi kesan kepada Sungai Linggi serta menjejaskan nelayan, beliau berkata lokasi pembangunan sebenar berada jauh daripada sungai berkenaan dan tidak mempunyai kaitan dengan dakwaan yang dibangkitkan.

“Saya khuatir dia melihat pembangunan tambakan di kawasan Melaka berhampiran dengan sempadan kita... itu menjadikan dia katakan bahawa akan melibatkan Sungai Linggi, masalah nelayan laut dan nelayan sungai. Itu tidak terlibat sama sekali. Jadi saya rasa bahawa Chegubard ini dah sasar jauh.

“Jadi saya rasa rakyat Negeri Sembilan harus melihat... ada yang bawa persepsi perkauman, ada bawa persepsi fitnah. Yang penting bagi mereka, mereka mendapat simpati dan undi daripada rakyat ataupun pengundi,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini, Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin mendakwa kira-kira 1,400 ekar tanah termasuk hutan simpan, tanah adat, tanah pertanian dan lot-lot perkampungan akan diambil untuk membina pelabuhan AI tersebut.

Must Watch Video

Advertisement