SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) mengakui jumlah pencalonan wanita yang diketengahkan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini masih belum mencapai sasaran 30 peratus, namun menegaskan peranan wanita tetap diambil kira dalam kepimpinan dan pentadbiran kerajaan negeri.
Ketua Wanita BN Negeri Sembilan, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata penilaian terhadap kepimpinan wanita bukan hanya tertumpu kepada jawatan sebagai wakil rakyat, sebaliknya turut mengambil kira potensi mereka untuk memainkan peranan menerusi jawatan lain dalam kerajaan.
“Memang ia tidak mencukupi kerana ini, kalau berdasarkan kepada (hampir) 447,000 (jumlah pengundi wanita di Negeri Sembilan) tetapi kalau mengikut kepada 36 kerusi memanglah tidak cukup.
“Tetapi bagi saya kepimpinan telah menilai, mungkin bukan sahaja sebagai yang berhormat tetapi untuk bersama dalam kerajaan pada jawatan-jawatan yang lain. Jadi saya rasa itulah yang telah difikirkan oleh BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Ikrar Wanita Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri, di sini, hari ini.
Beliau turut memberi contoh pelantikan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad sebagai menteri dalam portfolio selain hal ehwal wanita sebagai bukti kepercayaan gabungan itu terhadap kepimpinan wanita.
“Itu kepercayaan Barisan Nasional kepada wanita. Wanita Barisan Nasional. Dan saya yakin insya-Allah Barisan Nasional tidak akan mensia-siakan wanita dalam manifestonya,” ujarnya.
Selain itu, Bibi berkata BN yakin pengalaman parti itu dalam pentadbiran kerajaan mampu memastikan peranan wanita terus diberi perhatian.
PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan BN mencalonlan tiga calon wanita iaitu S. Leza Md Yasin (UMNO) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Siti Nur Umaira Hasim (UMNO) bagi DUN Labu dan Yap Siok Moy (MCA) bagi DUN Rahang.
Pada Sabtu ini, sebanyak 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu, yang menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.