KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH), yang didedahkan kepada umum semalam.
SPRM berkata, pasukan khas itu diketuai Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Mohd Hafaz Nazar.
Menurut kenyataan itu, pasukan khas berkenaan dipertanggungjawabkan untuk meneliti sama ada terdapat sebarang isu perundangan yang membabitkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram.
Katanya, penelitian itu akan dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), serta mana-mana peruntukan undang-undang berkaitan.
"SPRM komited memastikan setiap isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI itu diteliti dengan sewajarnya.
"Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu yang terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
SPRM turut menegaskan pihaknya akan terus menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, akauntabiliti dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memperkukuh tadbir urus negara tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Sehubungan itu, SPRM menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan sebarang unsur penyelewengan, penipuan dan salah guna kuasa yang dikenal pasti akan disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM dan Bank Negara.