SEREMBAN: Sebanyak 22,339 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Negeri Sembilan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama pasangan akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada hari pengundian awal 28 Julai ini.
Ketua Polis Negeri Datuk Alzafny Ahmad berkata jumlah itu melibatkan 5,455 pegawai dan anggota PDRM, manakala 16,884 lagi terdiri daripada anggota ATM bersama dengan pasangan yang akan menunaikan tanggungjawab pada hari berkenaan.
“Sebanyak 1,796 pegawai dan anggota akan bertugas di semua zon pada hari pengundian awal tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata pada hari penamaan calon Sabtu ini, sejumlah 2,393 anggota akan bertugas, manakala 1,685 anggota akan ditempatkan sepanjang tempoh berkempen dan 4,788 anggota bertugas pada hari mengundi, iaitu 1 Ogos.
Sementara itu, Alzafny mengingatkan semua calon parti politik yang terlibat dalam pilihan raya kali ini supaya mengawal penyokong masing-masing sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman, tertib dan harmoni.
Beliau berkata semua pihak perlu mengelakkan sebarang bentuk provokasi, perarakan yang tidak dibenarkan, penyebaran berita palsu, fitnah, ucapan kebencian serta kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
"PDRM turut memberikan penekanan terhadap isu agama, bangsa dan institusi raja (3R). Larangan itu meliputi ceramah politik, bahan kempen, kenyataan kepada media serta kandungan yang dimuat naik di media sosial," katanya.
Alzafny berkata semua calon, penyokong dan orang ramai turut diingatkan supaya menerima keputusan pilihan raya dengan matang selepas keputusan rasmi diumumkan dan sebarang bantahan hendaklah dikemukakan melalui saluran perundangan disediakan tanpa mengambil tindakan yang boleh menjejaskan keamanan awam atau mengganggu ketenteraman negara.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan pada Sabtu ini diikuti pengundian awal pada 28 Julai dan 1 Ogos ialah hari pengundian.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA