KUALA TERENGGANU: Polis memaklumkan siasatan ke atas seorang calon Pas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu atas dakwaan menganggu isteri orang, hampir siap.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pengarah Pendakwa Negeri (PPN) dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

"Kita terima satu laporan ke atas seorang calon dan kita telah membuka siasatan.

"Kertas siasatan akan siap dalam sehari dua dan kita akan serahkan kepada PPN untuk mendapat arahan seterusnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, pada Selasa.

Mazli memberitahu, siasatan ke atas calon itu dibuat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah.

Seksyen itu katanya memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain pengadu, beliau turut mengesahkan sudah memanggil calon berkenaan untuk direkodkan keterangan.