Sejumlah 55 pusat pengundian awal di seluruh Sabah dibuka pada 8 pagi ini bagi membolehkan 16,877 anggota keselamatan termasuk pasangan melaksanakan pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Pasukan keselamatan terlibat ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka.

Mereka terdiri daripada 7,487 anggota tentera dan pasangan serta 9,390 anggota polis.

Antara tempat mengundi ialah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem-kem tentera.

Tinjauan Astro AWANI di IPK Sabah di Kepayan mendapati, walaupun cuaca hujan, hampir 2,000 anggota dan pegawai menunaikan tanggungjawab itu secara berperingkat mengikut jabatan.


Pusat pengundian di IPK Sabah ini melibatkan pengundi awal dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayan dan Moyog.

Malah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 juga dilaksanakan seperti pemeriksaan suhu, sanitasi, penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Koperal James Solumbi dari Jabatan Pengurusan IPK Sabah, Kepayan menunaikan tanggungjawab membuang undi di Mess Pegawai Kanan, IPK Sabah, Kota Kinabalu, hari ini. - Astro AWANI/ASSIM HASSAN


Kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi hari ini sebaliknya disimpan di tempat selamat iaitu di lokap balai polis.

Kertas undi hanya akan dikira pada hari pengundian 26 September ini bermula 4 September ini.

Undi awal PRN Sabah berlangsung di Mess Pegawai Kanan, IPK Sabah, Kota Kinabalu, hari ini. - Astro AWANI/ASSIM HASSAN