Golongan petani diminta menyuarakan sebarang masalah mengenai tanaman mereka terus ke kementerian berkenaan dan bukan kepada parti politik pembangkang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, keengganan petani untuk mengadu masalah kepada pihak sebetulnya hanya menyukarkan mereka pada masa hadapan.

"Pembangkang dilihat hanya menangguk di air keruh dan sengaja mengelirukan petani dengan janji bantuan palsu semata-mata. Apa yang dibuat itu merupakan permainan politik dan mungkin penyokongnya sendiri.

"Kalau pertanian terjejas guna saluran betul untuk urusan saluran bantuan. Tidak perlu melalui Pas, dia akan ikut kerajaan Barisan Nasional juga. Saya rasa bukan mereka tidak cerdik tetapi sengaja mempolitikkan keadaan," katanya semasa ditemui selepas merasmikan Majlis Jalinan Tani 'Lan Berambeh' bersama Komuniti Bako di sini hari ini.

Pada majlis sama, Tajuddin menyampaikan bantuan kepada 371 nelayan di Bako yang layak menerima Elaun Sara Hidup Nelayan.

Tajuddin berkata demikian sebagai mengulas tindakan petani di Miri yang mengadu kepada parti Pas tentang kerugian yang dihadapi mereka akibat kebakaran hutan dan belukar yang menyebabkan kemusnahan hasil pertanian.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Tajuddin berkata, penerima Elaun Sara Hidup Nelayan di Sarawak akan meningkat lebih daripada 7,414 nelayan melibatkan RM16,103,550 yang diterima sepanjang 2015.

Jelasnya, pertambahan itu disebabkan peningkatan pemegang lesen nelayan di negeri itu sendiri.