Skip to main content

Malaysia

Program agensi di bawah JPM Hal Ehwal Agama sentiasa dipantau, ditambah baik - Zulkifli

PUTRAJAYA, 9 April -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan bercakap kepada pemberita semasa hadir menunaikan Solat Maghrib, Solat Hajat serta menyertai bacaan Yasin dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra Dr Muhamad Zakuwa Rodzali, sebelum disusuli dengan Solat Isyak dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Masjid Putra malam ini._BERNAMA
Pelaksanaan semua program dan strategi 14 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa dipantau rapi, dengan penambahbaikan dilaksanakan segera. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Pelaksanaan semua program dan strategi 14 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa dipantau rapi, dengan penambahbaikan dilaksanakan segera sekiranya terdapat sebarang kekurangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Beliau berkata kesemua agensi itu antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Tabung Haji (TH), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Yayasan Waqaf Malaysia telah mempunyai strategi masing-masing merangkumi perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang, dengan tumpuan kini beralih kepada aspek pemantauan keberkesanan serta hasil pelaksanaan.

Advertisement

"Alhamdulillah kita sudah melakukan beberapa pelaksanaan dan strategi dengan dijayakan oleh warga daripada 14 agensi yang telah memberikan kerjasama serta sokongan luar biasa.

"Hari ini kita lihat apa yang telah kita laksanakan iaitu dari segi impak, keberkesanan dan apa yang dapat dirasai oleh rakyat. Alhamdulillah, kempen dan usaha yang telah kita laksanakan telah pun membuahkan hasil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini hari ini.

Beliau berkata pencapaian itu turut meletakkan pengurusan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berada di hadapan dalam beberapa aspek pentadbiran, namun semua pihak diingatkan agar tidak berpuas hati dan terus berusaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan.

Zulkifli berkata aspek masa depan bukan hanya menumpukan kepada penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat, tetapi juga membentuk fikrah dan pemikiran masyarakat agar memahami Islam yang sebenar.

"Dan hari ini saya juga memberikan suatu amanat dalam bentuk video. Saya mahu mengajak seluruh warga jabatan untuk menjadi pencerita, menjadi pengkisah kepada ketamadunan, kepada Malaysia yang kita mahukan, khususnya berkenaan dengan Islam yang sebenar," katanya.

Terdahulu, Zulkifli melancarkan Kempen “Tiada Visa, Tiada Haji” dan #MadaniMembantu serta mengikuti ceramah bertajuk “Geopolitik dan Dunia Islam” yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Dr Mohd Afandi Salleh.

-- BERNAMA

Must Watch Video