Beban keluarga yang kurang berkemampuan khususnya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak sedikit sebanyak dapat diringankan menerusi pelaksanaan Program 'Kembali ke Sekolah'.

Bertempat di RTC Terengganu Bandar Al-Muktafi Billah Shah pada Sabtu, program tersebut telah berjaya dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi zon Al Muktafi Billah Shah dan Ketengah Jaya Wilayah.

Ia dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Ketengah merangkap Pegawai Pembangunan Dungun, Datuk Din Adam.

Program yang menjadi acara tahunan itu bertujuan membantu persiapan anak-anak keluarga yang kurang berkemampuan dalam menghadapi musim persekolahan tahun hadapan yang bermula pada 1 Januari 2018.

Bagi melengkapkan perjalanan majlis, pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma bagi pelajar lelaki sekolah rendah dan sekolah menengah.



*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Nurul Hazirah Ismail, Nur Syukrina Zakaria, Sharifah Fazeera Syed Mohamed dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro Awani bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

**Awani Rangers UMK ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK)