KUALA NERANG: Program entrepreneurNCER di bawah Program Modal Insan Bersepadu Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) membantu usahawan mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk memastikan kelangsungan dan kemampanan perniagaan masing-masing.

Program entrepreneurNCER itu memberi manfaat kepada usahawan mikro dan PKS menerusi tawaran skim pembiayaan, melalui kerjasama strategik dengan Maybank dan Agrobank selain memberikan panduan mengembangkan perniagaan kepada usahawan terlibat.

Seorang peserta program, Mohd Subhi Musa, 39, yang mengusahakan pusat pengumpulan getah di sini berkata dengan bantuan itu, dia mempunyai pusingan modal mencukupi sekali gus boleh membeli getah sekerap daripada pekebun kecil dalam kuantiti banyak.

"Sebelum saya sertai program ini pada 2019, sehari saya dapat beli getah sekerap antara 30 hingga 33 tan sehari, tetapi bila saya dah ada modal lebih, perbezaannya ialah saya dah boleh beli getah sekerap antara 40 hingga 50 tan sehari," katanya ketika ditemui Bernama.

Mohd Subhi yang membuka Pusat Pengumpulan Getah itu sejak 2011 berkata kemampuannya membeli getah sekerap dalam kuantiti banyak secara langsung boleh membantu lebih 100 pekebun kecil di sekitar daerah Padang Terap menjana pendapatan melalui hasil penjualan getah itu.

"Ini sebagai satu peluang pekerjaan kepada penduduk setempat iaitu pekebun kecil yang boleh memasarkan getah ini dengan harga lebih baik," katanya yang kini mempunyai 12 pekerja bagi membantu operasi pusat pengumpulan itu.

Perdana Menteri menyampaikan sijil kepada Mohd Subhi selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-28 Majlis Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap di Kuala Nerang pada Isnin. --fotoBERNAMA

Berkongsi pendapat sama, seorang lagi peserta Burhan Hassan, 50, yang mengusahakan Pusat Tayar dan Auto Servis di sini berkata bantuan pembiayaan menerusi program itu membolehkannya menambah baik dan membesarkan premis bagi mengembangkan perniagaannya.

"Menerusi bantuan pembiayaan daripada program ini, saya juga mampu membuka satu lagi cawangan di Kepala Batas dekat Alor Setar pada 2021 yang sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat," katanya.

Burhan yang memulakan perniagaan itu sejak 2006 berkata kini beliau mempunyai tiga Pusat Tayar dan Auto Servis termasuk cawangan kedua di Pokok Sena yang dibuka pada 2018 dengan keseluruhan 14 pekerja di tiga premisnya itu.

Peserta Program Modal Insan NCER Yew Zhi Shin menunjukkan hasil produk berasaskan nanas pada pameran yang dihadiri Perdana Menteri di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap di Kuala Nerang pada Isnin lepas. --fotoBERNAMA

Dalam pada itu, NCER dalam satu kenyataan berkata sebanyak 8,927 perusahaan mikro, kecil dan sederhana di Kedah menerima manfaat skim pembiayaan di bawah Program entrepreneurNCER dengan jumlah pinjaman terkumpul diluluskan sebanyak RM101.8 juta sejak 2019 sekali gus dapat memastikan kelangsungan dan kemampanan perniagaan dalam tempoh pascapandemik.

Selain itu, kenyataan itu menyebut seramai 22,500 lagi usahawan mikro, kecil dan sederhana di NCER dijangka mendapat manfaat daripada program itu menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan penglibatan CIMB dan AFFIN Bank sebagai rakan strategik baharu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), mulai tahun ini.

-- BERNAMA