KUALA LUMPUR: Rancangan pemulihan ekonomi Malaysia berada di landasan tepat lebih lagi selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula pada hari ini (Rabu).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, pemulihan ekonomi akan menyusul bersama dengan pemulihan kesihatan awam, malah banyak sektor ujar Tengku Zafrul menanti pembukaan sempadan seperti sektor pelancongan dan peruncitan.

"Bagi mereka daripada sektor pelancongan, manfaatkanlah peruntukan Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana sebanyak RM1 bilion bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro yang masih terkesan dengan COVID-19," jelas dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-42 pada Rabu.

Mengulas lanjut, Bank Dunia telah mengumumkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 5.6 hingga 6.7 peratus bagi 2021 susulan pelancaran program vaksinasi COVID-19 secara global dan ini sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia pada kadar empat peratus.

"Minggu lepas menyaksikan pelbagai detik bersejarah bagi negara kita. Saat yang paling ditunggu-tunggu sudah pastinya ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 ke tanah air.

"Ketibaan ini menandakan bermulanya Fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dimana 500,000 petugas barisan hadapan akan divaksinasikan menjelang April tahun ini,” katanya lagi.

Tambahnya, kerajaan mensasarkan kira-kira 80 peratus bersamaan 27 juta rakyat akan mengikuti Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menjelang suku pertama tahun 2022 bagi mencapai imuniti kelompok.