KUALA LUMPUR: Saluran Astro Ria dan platform penstriman Astro GO akan menayangkan program khas secara langsung dan eksklusif bagi mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali malam ini.
Program berjudul "Rancangan Khas: Tun Dr Hasmah, Dalam Kenangan" yang dijadual bersiaran pada 9 malam ini bertujuan mengimbas kembali perjalanan hidup serta sumbangan besar Allahyarham terhadap pembangunan masyarakat dan negara.
Rancangan itu turut menampilkan beberapa tokoh terkenal termasuk Datuk Rashid Sidek, Datuk Cheah Soon Kit, Karamjit Singh, Datuk Aznil Haji Nawawi, Datuk Yusry Abdul Halim dan Datin Lisa Surihani yang akan berkongsi kenangan serta penghormatan kepada Allahyarham.
Penerbitan program khas itu memberi ruang kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengenang kebaikan, menghargai jasa serta meneladani nilai, sumbangan dan perjuangan Allahyarham sepanjang hayat beliau.
Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) semalam pada usia 100 tahun.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Bertaraf Pembesar Negara di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, pada Isnin.