Skip to main content

Malaysia

Program konservasi penyu UMT di Pantai Chagar Hutang berjaya tingkat populasi sarang

Sumber: UMT
Mohd Uzair berkata berdasarkan kajian UMT, perubahan itu kemungkinan berkait rapat dengan keadaan habitat sumber makanan di laut, memandangkan penyu akan berhijrah ribuan kilometer ke kawasan mencari makan sebelum kembali semula beberapa tahun kemudian. - Foto UMT
Advertisement

KUALA NERUS: Usaha pemuliharaan penyu di Pantai Chagar Hutang di Pulau Redang oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencatatkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah sarang penyu agar di kawasan tersebut meningkat tiga hingga ke empat kali ganda dalam tempoh 30 tahun.

Ketua Pusat Konservasi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata bilangan sarang penyu agar meningkat daripada 400 hingga 500 sarang setahun pada awal 1990-an kepada kira-kira 1,500 hingga 2,000 sarang setahun bermula 2016 hingga kini.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak 4,609 penyu telah ditandakan dan didapati seekor daripadanya kembali bertelur sebanyak 79 kali dalam masa 28 tahun ke Pantai Chagar Hutang, iaitu antara tapak pemantauan penyu jangka panjang yang paling lengkap di dunia.

"Rekod jangka panjang ini amat jarang dimiliki oleh mana-mana pusat konservasi dunia.

“Peningkatan populasi ini membuktikan bahawa usaha melindungi pantai persarangan, mengawal pengambilan telur, mengurangkan gangguan manusia dan pelaksanaan pemantauan secara konsisten selama beberapa dekad benar-benar memberi kesan positif kepada pemulihan populasi penyu,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan penemuan oleh penyelidik di United Kingdom yang diterbitkan dalam jurnal Royal Society Open Science, mendapati bahawa haiwan purba itu kini mengambil masa yang lebih lama untuk membiak pada musim berikutnya dengan selang antara musim pembiakan menjadi semakin panjang.

Mohd Uzair berkata berdasarkan kajian UMT pula, perubahan itu kemungkinan berkait rapat dengan keadaan habitat sumber makanan di laut, memandangkan penyu akan berhijrah ribuan kilometer ke kawasan mencari makan sebelum kembali semula beberapa tahun kemudian.

“Sekiranya sumber makanan berkurangan atau habitat semakin terjejas, penyu memerlukan masa yang lama untuk mengumpulkan tenaga sebelum mampu menghasilkan telur serta kembali membiak,” katanya.

Beliau berkata pasukan penyelidiknya juga sedang mengkaji dua kemungkinan atau faktor berkait iaitu perubahan iklim yang menjejaskan produktiviti habitat seperti padang rumput laut dan peningkatan kepadatan populasi penyu di kawasan mencari makan.

Katanya, apabila semakin banyak penyu dapat diselamatkan, persaingan mendapatkan sumber makanan juga meningkat justeru kedua-dua faktor ini menyebabkan penyu mengambil masa lama untuk pulih sebelum musim pembiakan seterusnya.

"Pemuliharaan penyu kini telah memasuki fasa baharu. Cabaran sebenar pada masa hadapan ialah di laut kerana penyu menghabiskan lebih 95 peratus daripada kitaran hidup di air.

“Oleh itu kejayaan proses konservasi penyu bergantung kepada sejauh mana kita mampu melindungi habitat mencari makan, padang rumput laut, laluan migrasi dan keseluruhan sistem marin yang menyokong kehidupan haiwan marin itu sepanjang hayat," katanya.             

Dalam pada itu Mohd Uzair berkata Santuari Penyu Chagar Hutang yang diwujudkan pada 1993 telah berkembang sebagai sebuah ekosistem yang merangkumi universiti, penyelidik, sukarelawan, renjer tempatan, pelajar, komuniti setempat serta rakan strategik.

Beliau berkata operasi harian dipimpin oleh seorang ketua penyelidik dengan sokongan renjer tempatan, pelajar siswazah, pembantu penyelidik, pelajar latihan industri serta lebih 7,000 sukarelawan.

"Pendekatan ini membolehkan Pantai Chagar Hutang terus beroperasi dalam keadaan sumber yang terhad. Ia bukan sekadar sebuah stesen penyelidikan universiti, tetapi sebuah model pemuliharaan berasaskan komuniti yang dipimpin oleh UMT.

"Dalam masa sama kami juga mengambil langkah memperkukuh Dana Wakaf Kelestarian Alam bersama UMT Ihsan dan RHB Islamic bagi membina sumber kewangan yang mampan, agar penyelidikan, konservasi, latihan pelajar dan pembangunan komuniti dapat diteruskan tanpa bergantung sepenuhnya kepada geran jangka pendek atau individu tertentu,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement