MALAYSIA
Program LGBT: Kertas siasatan sedang dilengkapkan

Razarudin berkata, siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan membabitkan penganjuran program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan itu susulan keterangan dua individu dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah diambil bermula jam 3.10 petang hingga 4.30 petang Rabu.
"Sebanyak 38 soalan telah diajukan kepada kedua-duanya namun mereka memilih untuk menjawab soalan di mahkamah.
“”Kita turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Huawei berserta kad SIM untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, pada Khamis.Razarudin berkata, siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan polis telah memanggil dua individu itu untuk dirakam keterangan.
Mohd Shuhaily dilaporkan berkata, siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara setelah siasatan lengkap.
Berdasarkan kenyataan rasmi daripada Pengerusi PSM bertarikh 31 Mei lalu program telah ditangguhkan bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan peserta.
Dalam pada itu, sebanyak 188 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung dakwaan penganjuran program itu.
Semua laporan diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negara sejak isu itu tular minggu lalu.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial berhubung perancangan program yang dipercayai akan diadakan pada 21 Jun ini di Petaling Jaya.
Program itu disifatkan sebagai mencetus sensitiviti masyarakat dan bertentangan dengan undang-undang negara yang tidak mengiktiraf sebarang bentuk amalan LGBT.
Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ, Bukit Aman. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami