MALAYSIA
Program motivasi songsang: Wanita ada masalah rumah tangga dinasihat guna saluran betul - Nancy

Nancy berkata, kementeriannya bersedia memberi sokongan serta panduan yang tepat, khususnya melalui platform rasmi seperti Talian Kasih 15999. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Golongan wanita yang berdepan tekanan hidup atau keganasan rumah tangga disarankan menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan bantuan dan sokongan.
Ringkasan AI
- Menteri KPWKM Nancy Shukri menyarankan wanita yang mengalami tekanan hidup atau keganasan rumah tangga agar menggunakan saluran rasmi seperti Talian Kasih 15999 untuk mendapatkan bantuan dan sokongan.
- Kontroversi tercetus berhubung program motivasi rumah tangga yang didakwa terpesong, termasuk dakwaan tarian bogel, air tidak diketahui kandungan, dan ritual menyerupai keagamaan lain, yang berlangsung di Shah Alam.
- Polis telah menahan pengasas eHati International Sdn Bhd dan suaminya bagi membantu siasatan, manakala Jakim dan JAIS menjalankan siasatan lanjut untuk memastikan kesahihan program tersebut.
“Mereka boleh meluahkan perasaan di situ dan selepas itu akan diberi panduan. Ini adalah langkah dan platform yang betul,” katanya selepas menghadiri Majlis Peluncuran Program Kasih Ibu Tunggal di ibu negara, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kontroversi membabitkan program motivasi rumah tangga yang didakwa terpesong, dianjurkan sepasang suami isteri.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Jumaat lalu dilapor menjalankan siasatan secara terperinci bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi rumah tangga terbabit.
Dalam hantaran yang tular di laman Facebook, turut didakwa bahawa terdapat wanita telah melakukan tarian bogel dalam program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor.
Peserta program itu juga didakwa diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh yang singkat.
Selain itu, peserta turut disuruh melakukan upacara mandi suci dan kelahiran semula yang menyerupai ritual keagamaan lain.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, mengesahkan Pengasas eHati International Sdn Bhd dan suaminya, telah ditahan polis.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami