SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus komited dalam memperkasakan ketahanan akidah umat Islam di negeri itu menerusi penganjuran Program Deklarasi Fundamental Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) Peringkat Negeri Selangor 2026.
Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin berkata penganjuran inisiatif bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu dilaksanakan berikutan kewujudan pelbagai ideologi serta fahaman penyelewengan keagamaan yang dilihat semakin kompleks dan mudah meresap masuk ke dalam fikiran masyarakat, khususnya menerusi aplikasi media sosial serta pelbagai platform digital.
“Program ini bertujuan melatih agensi Persekutuan dan negeri, pengurusan masjid, guru agama, pendaftar perkahwinan, pihak berkuasa tempatan serta agensi di pejabat agama Islam daerah mendalami kepentingan memelihara akidah dengan pelaksanaan latihan dan wacana bagi membendung ancaman ajaran sesat.
“Pada masa sama, kami juga dedahkan satu fatwa telah dikeluarkan mengenai definisi fahaman ASWJ membabitkan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, iaitu peruntukan itu mengatakan Islam ialah agama rasmi negeri. Islam itu bermaksud ASWJ,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program itu, yang turut dihadiri Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Menurut Salehuddin, usaha pemeliharaan akidah itu digerakkan secara bersepadu merangkumi aspek pendidikan, dakwah, penyelidikan dan penguatkuasaan dengan penglibatan strategik MAIS, JAIS, institusi pendidikan, para ilmuwan serta komuniti setempat.
Program yang berlangsung di Auditorium Dahlia itu dihadiri hampir 500 peserta dengan menampilkan dua pembentangan ilmiah oleh pakar akademik daripada Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaya yang mengupas prinsip fundamental ASWJ serta bahaya sikap melampau dalam beragama (ghuluw).
Dalam pada itu, Salehuddin ketika mengulas perkembangan kes seorang lelaki yang tular kerana dipercayai melakukan ritual agama lain yang bertentangan dengan hukum syarak berkata penahanan individu itu dilaksanakan bagi meneliti keberadaan elemen kesalahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor sebelum keputusan pendakwaan dibuat.
“Siasatan JAIS kini tertumpu kepada perbuatan yang menyentuh aspek pegangan akidah, penyebaran doktrin yang bertentangan dengan Islam serta tindakan yang boleh menyebabkan agama Islam dipandang hina. Namun, penglibatan individu atau kumpulan lain masih dalam siasatan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihaknya akan memperketatkan penguatkuasaan menerusi pemantauan berterusan terhadap individu atau mana-mana pihak yang dikesan cuba mempromosikan ritual yang bercanggah dengan akidah Islam di platform dalam talian.
-- BERNAMA