Skip to main content

Malaysia

Indeks Membaca Kebangsaan dimuktamadkan awal 2027 - Aaron

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyampaikan ucapan ketika hadir pada perasmian Karnival Membaca Perdana dan Pesta Buku Melaka 2026 di The Shore Shopping Gallery hari ini. -- fotoBERNAMA
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyampaikan ucapan ketika hadir pada perasmian Karnival Membaca Perdana dan Pesta Buku Melaka 2026 di The Shore Shopping Gallery hari ini. -- fotoBERNAMA

Advertisement

Advertisement

MELAKA: Malaysia dijangka mempunyai instrumen khusus untuk mengukur tahap dan pola amalan membaca rakyat secara sistematik menerusi pembangunan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) yang dijadualkan dimuktamadkan pada awal 2027.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata indeks yang dibangunkan menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) itu bertujuan menilai perkembangan budaya membaca negara secara lebih menyeluruh dan berasaskan bukti.

Beliau berkata pembangunan IMK dibuat susulan syor Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 manakala Kajian Awal IMK 2026 sedang dilaksanakan bagi mendapatkan data empirikal mengenai trend, cabaran dan tahap amalan membaca masyarakat.

Advertisement

“Dapatan awal menunjukkan 95 peratus responden adalah pembaca aktif, dengan 47.8 peratus membaca setiap hari. Namun, skor rasmi IMK 2026 hanya akan dimuktamadkan selepas proses pengesahan dan analisis data selesai,” katanya ketika berucap pada Karnival Membaca Perdana dan Pesta Buku Melaka 2026 di The Shore Shopping Gallery di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Advertisement

Aaron berkata kadar pembacaan semasa negara ialah 88.6 peratus, dengan rakyat Malaysia membaca purata 16 naskhah bercetak dan lapan naskhah digital, selain memperuntukkan kira-kira sembilan jam 22 minit seminggu untuk membaca.

Beliau berkata di Melaka, kadar pembacaan ialah 88.8 peratus, sekali gus meletakkan negeri itu di kedudukan keenam dalam kalangan negeri.

Dalam perkembangan lain, Aaron berkata Sistem Depositori PNM yang beroperasi sepenuhnya sejak Mei lepas memudahkan penerbit menguruskan pendaftaran Nombor Buku Standard Antarabangsa (ISBN), Nombor Siri Standard Antarabangsa (ISSN), Pengkatalogan dalam Penerbitan (PdP) serta serahan bahan digital secara dalam talian selaras dengan Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986.

Beliau berkata sebanyak 155,395 permohonan ISBN, PdP dan ISSN direkodkan bagi tempoh 2023 hingga Ogos 2026 manakala 8,651 judul melibatkan 43,609 naskhah fizikal dan digital didaftarkan dari Mei hingga Ogos tahun ini, selain 3,216 penerbit baharu direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, berbanding 1,873 dalam tempoh sama tahun lepas.

Sementara itu, Aaron berkata Pusat Warisan Intelek Negara di Bukit Jalil yang sedang dibangunkan dijangka siap pada 12 Nov 2029 dan bakal menempatkan kira-kira 2.5 juta naskhah koleksi negara yang kini disimpan di Extra Space Sungai Besi.

Karnival Membaca Perdana dan Pesta Buku Melaka 2026 anjuran Kementerian Perpaduan Negara menerusi PNM dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka yang berlangsung selama empat hari berakhir esok adalah antara usaha memperkasa budaya membaca, selaras dengan aspirasi Dekad Membaca Kebangsaan dan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara membaca menjelang 2030.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement