Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada 31 Ogos, rakyat Malaysia berpeluang melahirkan rasa prihatin dan cinta akan negara melalui wadah puisi.

Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia Tuan Asri Husin berkata edisi ketiga program 'Semarak Puisi Merdeka Penyair Malaysia peringkat kebangsaan itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia tanpa mengira usia.

"Mereka yang berminat boleh menyertai program ini dengan cara memuat naik video atau persembahan langsung pembacaan puisi, lagu puisi atau monolog bertemakan patriotisme melalui laman Facebook atau YouTube masing-masing dengan memberi maklumat penuh iaitu nama, negeri, tajuk persembahan dan menulis #malaysiaprihatin #merdekacovid19," katanya, dalam kenyataan.

Beliau berkata sesiapa sahaja boleh menyertai program ini dengan syarat video yang dimuat naik hendaklah asli dan belum pernah disiarkan dalam mana-mana media atau acara.

Tuan Asri, yang juga pengarah program tersebut, berkata program ini akan berlangsung mulai jam 12 tengah hari, 30 Ogos hingga 12 tengah hari 31 Ogos.

"Hantaran hanya dibuat dalam tempoh ini sahaja untuk melayakkan peserta diberikan sijil oleh penganjur secara digital (e-sijil). Pastikan hantaran dibuat dalam mod umum (public).

Sebanyak 20 persembahan terbaik daripada aspek penyampaian dan pemilihan pakaian akan menerima hadiah penghargaan daripada penganjur iaitu 10 kategori terbuka dan 10 kategori murid sekolah.

Tarikh tutup pendaftaran/penyertaan ialah pada jam 12 tengah malam, 29 Ogos ini.

-- BERNAMA