JEMPOL: Proses vaksinasi secara ‘walk-in’ akan diperluaskan ke semua negeri dalam masa terdekat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, setiap negeri akan memberikan kemudahan berkenaan dengan memberi keutamaan kepada golongan warga emas.

Bagaimanapun katanya ia bergantung kepada bekalan vaksin dalam negara dan perkembangan mengenai perkara berkenaan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Kita akan buat pengumuman semasa ke semasa berkenaan ‘walk in’, banyak juga bergantung kepada kedudukan bekalan vaksin kita cuma kebanyakan negeri kita akan umumkan ‘walk-in’ untuk warga emas.

“Mungkin saya rasa hampir kesemua negeri dapat memberikan kemudahan ‘walk-in’ untuk warga emas dalam masa terdekat kita akan umumkan,” katanya.

BACA: CITF umum 9 PPV 'walk-in' di Lembah Klang

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak, Kampung Orang Asli Batu Peti, Jempol pada ahad.

Dalam pada itu jelas khairy, setakat hari ini 59 peratus daripada penduduk dewasa malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 29 peratus telah lengkap menerima dua dos vaksin covid-19.

katanya, kerajaan juga komited untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk berumur 18 tahun ke atas di negara ini melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 menjelang 31 Ogos ini.

Sementara itu, mengulas kelonggaran yang akan diberikan kepada penerima lengkap dua dos vaksin COVID-19, beliau berkata kerajaan sedang memperhalusi draf kelonggaran berkenaan sebelum diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin yaksin dalam waktu terdekat.