Skip to main content

Malaysia

Projek berimpak langsung kepada rakyat jadi keutamaan Kementerian Ekonomi tahun depan

KEMENTERIAN EKONOMI
Akmal Nasrullah semasa melawat Projek IKR menaik taraf jambatan kayu kepada separa konkrit di Kampung Kalansanan hari ini. - Gambar Kementerian Ekonomi
Advertisement

KOTA KINABALU: Projek pembangunan yang memberi impak langsung kepada rakyat akan terus diberi keutamaan oleh Kementerian Ekonomi dalam perancangan perbelanjaan pembangunan tahun depan, seiring usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perancangan perbelanjaan pembangunan kementerian bagi tahun hadapan telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk dimuktamadkan.

“Dalam perancangan pembangunan, sudah pasti kita meletakkan pemberat utama kepada projek memberi impak kepada rakyat untuk diutamakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) menaik taraf jambatan kayu kepada separa konkrit di Kampung Kalansanan di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun keadaan ekonomi global ketika ini berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan harga minyak susulan perkembangan geopolitik, kerajaan tetap memberi penekanan kepada usaha meneruskan pembangunan negara serta memastikan kelangsungan kehidupan rakyat.

Katanya perkara itu selari dengan fokus digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperkukuh kedudukan ekonomi negara meskipun kerajaan berdepan tekanan fiskal yang perlu diuruskan secara berhemah.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata Sabah mempunyai potensi besar untuk diterokai menerusi sektor ekonomi biru yang perlu diberikan perhatian di peringkat nasional.

Beliau berkata pengiktirafan ekonomi biru Sabah sebagai sebahagian daripada agenda nasional berpotensi membuka lebih banyak peluang ekonomi serta menyumbang kepada pengukuhan kedudukan ekonomi negara secara keseluruhan.

“Sabah ada potensi yang baik dan perkara ini perlu mendapat ketetapan di peringkat nasional supaya tumpuan itu bukan semata-mata menjadi agenda negeri Sabah untuk mengangkat ekonomi biru, tetapi ekonomi biru di Sabah ini boleh dianggap sebagai satu keutamaan di peringkat nasional,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement