GEORGE TOWN: Projek kereta kabel Bukit Bendera, di sini telah mencapai 32 peratus dan kerja fizikal projeknya dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2027, dengan pengoperasian disasarkan pada suku keempat tahun depan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perkembangan terkini itu dapat dilihat menerusi pemasangan menara ketiga projek tersebut ketika lawatan pemantauan dari kawasan Kebun Bunga hingga ke puncak Bukit Bendera, hari ini.
"Perkembangan itu menunjukkan projek kereta kabel Bukit Bendera kini memasuki fasa lebih menarik selepas kesemua kerja-kerja bawah tanah disempurnakan.
''Kemajuan projek pada keseluruhan pada ketika ini telah mencapai 32 peratus dan mengikut pasukan projek, ia dijangka siap segala kerja-kerja fizikal menjelang Ogos 2027 dan pengoperasian dijangka pada suku terakhir tahun hadapan,'' katanya selepas melakukan lawatan pemantauan projek kereta kabel Bukit Bendera, di sini hari ini.
Beliau berkata kerja-kerja pada peringkat awal berdepan kekangan terutama membabitkan pembinaan struktur bawah tanah yang memerlukan penelitian serta pematuhan syarat teknikal ketat.
Chow berkata projek itu yang mula dilaksanakan di tapak pada Januari 2025 merupakan antara projek yang dinanti-nantikan rakyat Pulau Pinang, namun berdepan kekangan pada peringkat awal khususnya kerja-kerja bawah tanah.
Katanya, keadaan geologi dan syarat teknikal yang ketat di kawasan Bukit Bendera menyebabkan kerja-kerja bawah tanah perlu dilakukan secara manual tanpa penggunaan jentera.
''Kita faham pada tempoh permulaan, kerja-kerja bawah tanah menghadapi kekangan, tetapi syukur pada hari ini kita saksikan kesemua kerja-kerja bawah tanah sudah disempurnakan dan ketika ini kerja-kerja di tapak sudah memasuki fasa pembinaan atas muka bumi.
''Di Bukit Bendera pun amat mencabar sebab syarat teknikal yang ketat, mereka tidak dibenarkan menggunakan jentera untuk menjalankan kerja-kerja bawah tanah dan mereka perlu amat sabar melakukan kerja-kerja ini secara manual,'' katanya.
Projek kereta kabel Bukit Bendera di Pulau Pinang bernilai lebih RM200 juta bagi memberi alternatif kepada sistem rel sedia ada dan direka untuk membawa muatan hingga 1,400 penumpang sejam bagi setiap arah, kereta kabel Bukit Bendera akan menawarkan perjalanan selama 10 minit dari Taman Botani ke puncak bukit, pada ketinggian 700 meter dari paras laut.
Ia meliputi laluan sepanjang 2.73 kilometer dari Taman Botani ke puncak bukit, melibatkan tiga stesen utama, iaitu Garden Station di kaki bukit, Turn Station di pertengahan dan Hill Station di puncak, selain dilengkapi dengan kemudahan tempat letak kereta bertingkat, plaza komersial di hadapan Jabatan Taman Botani serta kawasan khas untuk parkir bas.
-- BERNAMA