SIBU: Projek naik taraf jalan dari bandar Sibu ke lapangan terbang akan dihidupkan semula seperti yang dirancang dalam pelan asal jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak sebelum ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia melibatkan jalan dua lorong dua hala yang memerlukan proses naik taraf agar selari dengan piawaian pelan pembangunan LPB baharu.

“Konsep yang dilakukan sekarang berbeza dengan pelan asal terdahulu di mana ia jauh lebih tinggi berbanding sebelumnya.

“Pada asalnya ia memang sudah dirancang, namun telah dibatalkan semasa pertukaran Kerajaan Persekutuan dan kita akan hidupkan pelan tersebut selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ucapan ringkasnya pada majlis makan malam Program FTRoadPedia KKR 2022 di sebuah hotel terkemuka di Sibu pada Khamis malam.

Perkara ini telah dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek dan ADUN Nangka, Dr Annuar Rapaee agar Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil maklum mengenai isu berkenaan.

“YB Bukit Assek (Chieng) dan Dr Anuar sudah meminta supaya kita menaik taraf jalan bandar Sibu ke lapangan terbang kerana jalan tersebut masih beralun.

“Di kawasan Sibu mempunyai struktur tanah paya jadi apa-apa yang kita lakukan pasti berdepan cabaran dan disebabkan itu kita memikirkan kaedah dengan penggunaan teknologi baharu.

“Kita (KKR) berharap agar ia dapat menyelesaikan masalah tersebut khususnya di kawasan Sibu, Sarikei termasuk Selangau serta kawasan yang memiliki struktur geografi berpaya,” jelasnya.

Menurutnya ia merupakan sebahagian daripada pelan di bawah LPB di wilayah tengah Sarawak.