KUALA TERENGGANU: Projek Pembangunan Semula Kompleks Pasar Payang di sini telah siap sepenuhnya dan hanya menunggu kelulusan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan IWK di peringkat Persekutuan agar kelulusan itu dapat disegerakan.

"Projek ini sepatutnya siap pada 2021, namun disebabkan kekangan pandemik COVID-19 khususnya menyebabkan ia mengalami kelewatan.

"(Projek) ini sebenarnya selaras dengan hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mahu semua projek pembangunan di seluruh negara segera disiapkan supaya rakyat berpeluang menjalankan perniagaan mereka," katanya selepas meninjau perkembangan Projek Pembangunan Semula Kompleks Pasar Payang di sini hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata pada lawatan hari ini beliau juga dimaklumkan berkenaan kesediaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membantu urusan perpindahan peniaga di kompleks perniagaan sementara ke Kompleks Pasar Payang yang baharu itu kelak.

Projek pembangunan semula yang bermula pada 2018 itu menelan keseluruhan kos sebanyak RM75,963,749 dan dijadualkan diserahkan kepada MBKT pada 30 Nov ini.

Pasar Payang yang menjadi antara ikon pelancongan di Terengganu dibina semula melibatkan perluasan saiz kedai dan ruang legar selain dilengkapi kemudahan asas seperti tandas Orang Kurang Upaya (OKU), bilik persalinan bayi, eskalator dan lif bagi keselesaan pengunjung serta peniaga.

-- BERNAMA