Projek perintis Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di plaza tol perlu dilanjutkan berikutan penambahbaikan sistem perlu dilakukan sebelum dapat digunakan secara rasmi oleh orang ramai.

Timbalan Pengurus Besar Stormwater Management and Road Tunnel (SMART), Mohd Noor Ali berkata pada masa ini, syarikat-syarikat konsesi sedang bekerjasama dengan Touch 'n Go (TNG) untuk mengumpul maklum balas daripada pengguna yang telah berdaftar dalam projek perintis itu.

"Sepanjang tempoh percubaan itu, kami mendapati beberapa penambahbaikan perlu dilakukan sebelum ia betul-betul dapat digunakan secara rasmi antaranya tahap pengesanan terhadap kod bar daripada pelekat kereta serta kesinambungannya terhadap aplikasi 'E-Wallet'.

"Berbanding dengan kad fizikal yang menolak baki secara terus, RFID perlu digunakan bersama-sama dengan aplikasi namun kami mendapati masih ada 'masalah', jadi penambahbaikan itu perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (Litrak), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan SMART bersama media di sini, pada Selasa.

Beliau berkata pada masa sekarang, tempoh percubaan bagi projek perintis RFID bergantung kepada laporan dan maklum balas daripada syarikat-syarikat konsesi tol dan orang ramai.

"Setakat ini, pihak konsesi ada menerima beberapa maklum balas berkenaan sistem RFID seperti palang tidak dibuka, 'pengesanan yang lembap' dan terlebih caj.

Sekiranya sistem dapat ditambah baik, maka penggunaan secara rasmi akan diumumkan oleh kerajaan kelak," katanya.

Sistem RFID menggunakan cip frekuensi radio yang terkan-dung dalam satu pelekat ditampal pada sesebuah kenderaan dan akan menggantikan peranan peranti tag pintar (SmartTAG).

Secara keseluruhan, terdapat 167 lorong TNG RFID yang beroperasi di 23 lebuh raya, melibatkan 58 plaza tol, antaranya Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Sprint, Plaza Tol Loke Yew (Lebuhraya BESRAYA) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

-- BERNAMA