MALAYSIA
Projek perumahan baharu perlu ikut konsep MADANI - PM Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Aman MADANI di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Semua projek perumahan berskala besar di negara ini perlu dibangunkan mengikut prinsip MADANI, termasuk penyediaan kemudahan pendidikan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, bagi projek yang melibatkan pembinaan 3,500 unit kediaman atau lebih, kemudahan seperti sekolah, ruang niaga untuk penjaja kecil, pengangkutan awam dan pusat kesihatan perlu turut disediakan bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.
“Saya minta perkara ini diberi perhatian serius. Semua projek mesti berasaskan prinsip MADANI.
"Jika ada sekolah berhampiran, ibu bapa yang berpendapatan sekitar RM3,000 tidak perlu menanggung kos pengangkutan anak-anak antara RM300 hingga RM400 sebulan. Ini bukan sahaja menjimatkan, malah lebih selamat untuk anak-anak.“Jika belum ada perancangan untuk sekolah, bina beberapa blok khas misalnya sekolah bertingkat lengkap dengan lif di kawasan perumahan bertingkat. Kosnya lebih rendah dan boleh ditanggung oleh Kementerian Pendidikan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Aman MADANI di Bandar Sri Permaisuri, di sini, hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengarahkan semua pihak termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan supaya memantau setiap projek perumahan agar benar-benar menepati konsep MADANI.
Beliau turut menegaskan, pentingnya projek disiapkan segera agar tidak membebankan rakyat.
“Terdapat projek yang masih belum siap selepas lapan tahun. Ini berlaku kerana perancangan yang lemah dan kegagalan mengambil kira faktor penting.
"Akhirnya, projek ini dipolitikkan. Saya mahu semua projek disiapkan segera agar rakyat tidak terus terbeban,” tegas Perdana Menteri lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami