Projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di perairan selatan Pulau Pinang telah mendapat persetujuan pelaksanaannya oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, MPFN bersetuju dengan pelaksanaannya dengan mematuhi 18 nasihat yang ditetapkan.

"Cadangan projek itu dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menjana pembangunan ekonomi negeri dan membiayai pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tegasnya, Kerajaan Pulau Pinang akan mematuhi nasihat MPFN dan ulasan jabatan teknikal yang berkaitan apabila melaksanakan projek itu selari dengan Seksyen 2A(2)(b) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini merancang menambak laut di Permatang Damar Laut di sini bertujuan membentuk tiga buah pulau buatan yang kemudiannya akan dijual sebagai modal bagi menampung kos pelan induk pengangkutan (PIP) negeri yang dianggarkan bernilai RM46 bilion," ujarnya lagi.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan pelaksanaan projek tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar itu di Permatang Damar Laut bagi membina tiga pulau buatan untuk tujuan pembangunan.