Proton Holdings Berhad dan DRB-HICOM Berhad sudah menandatangani satu perjanjian persefahaman (MOU) bersama Suzuki siang tadi beserta Perjanjian Perlesenan (Licensing Agreement) bagi membentuk kerjasama strategik.

Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Dato’ Abdul Harith Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton dan Osamu Suzuki, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Suzuki Motor Corporation.

Perjanjian ini melibatkan empat faktor utama iaitu produk, teknologi, tenaga kerja dan pasaran. Ia juga membolehkan Proton mendapat capaian kepada model, platform, sistem pacuan dan teknologi automotif Suzuki. Suzuki akan turut memberi bantuan teknikal diperlukan bagi skop yang terlibat.

Menariknya, Proton akan menggunakan kepakaran dan pengalaman Suzuki di dalam segmen kompak (khususnya Segmen A), dan bukannya segmen yang lebih selari dengan barisan produk Proton kini.

Sebagai contoh, model sedan Suzuki iaitu Kizashi tidak diperkatakan, begitu juga SUV seperti Grand Vitara ataupun S-Cross. Sebaliknya, kapasiti-kapasiti enjin yang lebih kecil menjadi sebutan. Pengerusi Proton Tun Mahathir Mohamed yang hadir ada menyebut sesaran enjin seperti 1.0-liter – atau lebih kecil – ada di dalam perancangan serta perhatian syarikat.

Produk yang akan terhasil daripada kerjasama ini masih lagi samar-samar. Selain model Alto dan Swift yang dijual di Malaysia, Suzuki masih lagi mempunyai beberapa lagi model kompak yang tidak diperkenalkan ke pasaran tempatan. Ini termasuk model Celerio dan Splash, kedua-duanya model kompak dengan kapasiti enjin 1.0-liter.

Mengikut Dato’ Harith lagi, hasil pertama kerjasama bersama Suzuki ini dijangka akan dapat dilihat pada tahun 2016, namun tiada masa – atau jenis produk – yang lebih tepat telah diberikan. Beliau juga mengesahkan bahawa kilang Proton di Tanjung Malim akan digunakan untuk tujuan pengeluaran.

Selama ini, kepentingan syarikat Suzuki di Malaysia diuruskan oleh Suzuki Malaysia Automobile (SMA) iaitu usahama DRB-HICOM, Suzuki dan Itochu Corporation. Perkembangan baharu ini akan menyaksikan proses rasionalisasi untuk SMA yang akan selesai dalam masa setahun daripada sekarang.