SUBANG JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) hari ini mengumumkan X90 sebagai nama rasmi bagi kenderaan tenaga baharu pertamanya (NEV).

Model X90 itu adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketiga Proton selepas X70 dan X50 dan dibangunkan bagi memenuhi segmen premium, moden serta keluarga.

Ketua Pegawai Esekutif Proton Dr Li Chunrong berkata kejayaan memperkenalkan X90 juga amat bermakna kerana dibuat ketika sambutan ulang tahun ke-40 Proton selain menjadi permulaan bagi kehadiran lebih banyak model NEV di masa-masa akan datang.

"Ini juga seiring dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kenderaan generasi akan datang.

"Selain itu, ia juga membuktikan bahawa biarpun selepas empat dekad, Proton masih memainkan peranan utama dalam membangunkan industri automotif tempatan," katanya pada majlis previu X90 untuk media di sini, hari ini.

SUV X90 yang didatangkan dalam empat varian standard, eksekutif, premium dan perdana juga ditawarkan dalam enam warna iaitu putih, perak, kelabu, coklat, merah delima dan biru laut.

-- BERNAMA