Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman nyata kecewa dengan insiden yang melanda penyokong Malaysia di Gelora Bung Karno ketika perlawanan menentang Indonesia bagi aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Menerusi muat naik Twitternya, Syed Saddiq menegaskan bahawa beliau akan menuntut bela dengan membuat laporan rasmi kepada kerajaan Indonesia dan rakan sejawatnya di sana.

Tegasnya, gangsterisme tidak boleh dikompromi dalam apa jua bentuk, melihat kepada tindakan ganas penyokong pasukan Garuda yang membaling objek berbahaya termasuk botol, besi dan suar.

Beliau juga menyampai maklum bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuat aduan rasmi kepada badan induk bola sepak dunia, FIFA ekoran insiden memalukan ini.

Katanya, bola sepak sepatutnya menjadi medan penyatuan dan apa yang berlaku pada malam Khamis adalah sangat menyedihkan.


Ketibaan penyokong Malaysia atau dipanggil Ekor Harimau disambut dengan dingin oleh penyokong tuan rumah termasuk dibaling dengan batu.

Pasukan negara juga berdepan ancaman sama dan dibawa masuk ke stadium dengan kenderaan tentera Barracuda.

Perlawanan juga tergendala sementara sekitar minit 75 apabila dipercayai kawasan penyokong Malaysia dibaling objek berbahaya termasuk suar.

Perlawanan berakhir memihak Malaysia dengan keputusan 2-3, melakar sejarah menang di Gelora Bung Karno selepas 15 tahun.