Bahang kehangatan musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bukan sahaja digunakan oleh parti politik sebagai medan untuk bertarung, tetapi ia juga memberi rezeki bermusim kepada sebahagian golongan peniaga.

Di Terengganu, misalnya, pengusaha-pengusaha kereta sewa menerima tempias daripada momentum pilihan raya apabila kebanyakan mereka menerima tempahan berganda sejak seminggu lalu daripada pelbagai pihak.

Antara pengusaha kereta sewa yang ditemui Astro AWANI, Raja Hazamir Raja Jusoh berkata jumlah tempahan meningkat mendadak hingga dua kali ganda berbanding hari biasa sejak seminggu lalu.

“Kalau nak ikutkan boleh katakan sejak seminggu ni pelbagai pihak datang untuk buat tempahan. Kadang tu sampai 10 ke 20 buah kenderaan ditempah oleh sesetengah parti politik dan agensi kerajaan.

"Ini macam rezeki bermusim yang biasa berlaku setiap kali pilihan raya.”

Tambahnya, kebanyakan rakan yang turut mengusahakan kereta sewa di Terengganu juga menerima lambakan tempahan.

“Ini baru peringkat awal dan kita menjangkakan akan berlaku peningkatan lagi sebaik menjelang penamaan calon pada 28 haribulan ni.

"Sebab tu semua pengusaha kereta sewa Terengganu sekarang ni tengah berusaha untuk memenuhi setiap tempahan untuk pelbagai jenis kenderaan.”

Antara yang paling popular ditempah termasuklah kenderaan jenis pacuan empat roda dan van selain kereta sedan.

Menurutnya, malah sebahagian mereka telah melakukan tempahan awal untuk membawa pengundi pada hari mengundi nanti iaitu pada 9 Mei.