Polis Kontinjen Terengganu telah memohon sebanyak RM11 juta bagi penambahan aset dan kelengkapan serta 1,910 anggota tambahan kepada Bukit Aman bagi pengurusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata ketika ini, jumlah anggota dan pegawai sedia ada ialah 3,164 orang dan sekiranya penambahan itu diluluskan, Kontinjen Terengganu akan mempunyai 5,074 pegawai dan anggota untuk bertugas sepanjang PRU14.

"Penambahan anggota ini penting terutama pada hari pengundian untuk menjaga pusat undi dan pusat penjumlahan undi, begitu juga sepanjang kempen berlangsung.

"Kita mohon RM11 juta itu untuk menambah aset seperti lori dan kereta serta kelengkapan yang sesuai bagi menangani apa sahaja cabaran dan ancaman pada PRU14 itu nanti, namun jumlah yang diluluskan akan dimuktamadkan Bukit Aman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Kursus Asas Unit Tindakan Ringan (LSF) Kontinjen Terengganu Siri 1/2017 di Padang Kawad Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Wakaf Tapai di sini hari ini.

Seramai lapan pegawai dan 64 anggota terlibat dalam kursus dua minggu sejak 25 Mac lalu bagi meningkatkan kemahiran tentang perkara yang berkaitan dengan ketenteraman awam dan menangani kes rusuhan jalanan secara berkesan.

Rosli berkata setakat ini Polis Terengganu telah selesai mengadakan empat kursus yang berkaitan kesiapsiagaan menghadapi PRU14.

"Antaranya kusus sistem maklumat pusat kawalan dan sistem maklumat pilihan raya. Kita jangka ada lima atau enam lagi kursus berkaitan PRU14 ini yang akan dilaksanakan sebelum Jun atau Julai depan.

"Seperti yang kita semua sedia maklum, pilihan raya umum perlu diadakan selewat-lewatnya Mac tahun depan.

"Setakat ini kita sudah bersedia dari segala aspek pengurusan PRU14 termasuk mengenal pasti 70 'kawasan panas' di seluruh negeri," katanya.

-- BERNAMA