IPOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui membeli dua buah bot seperti yang didedahkan sehingga tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut Ahmad Faizal, kedua-dua bot itu dibeli dengan harga RM50,000 dan RM80,000 daripada seorang pelayar Eropah yang terkandas di Malaysia ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelas calon kerusi Parlimen Tambun itu, bot tersebut kemudiannya diubah suai untuk tujuan pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah.

"Macam mana saya dapat bot ini… pada waktu COVID-19 ada seorang pelayar ini dia datang dari Eropah belayar menggunakan bot tersebut dan sampai ke Langkawi.

“Apabila kita mengadakan PKP beliau mungkin mendapat tekanan hidup kerana bersendirian di sini, maka membuat keputusan untuk meninggalkan negara ini sebaik kita membuka sempadan.

"Ketika itulah dia mencari pembeli kepada bot yang dijual dengan harga yang begitu murah," katanya menerusi rakaman video berdurasi 2:32 minit di dalam Facebook miliknya, hari ini.


Beliau membuat hantaran itu sebagai mengulas mengenai dakwaan pembelian kapal layar yang tular di media sosial sebelum ini.

Ahmad Faizal berkata, hasil pembelian itu, bot berkenaan dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan di Pulau Langkawi.

Beliau berpendapat, pembelian bot itu tidak salah dan telah meminta rakannya yang menjalankan perniagaan bot untuk menguruskannya.

"Yang penting juga dapat untuk anak-anak Melayu di Langkawi dapat bekerja sebagai kapten dan kru. Terima kasihlah kepada siapa yang telah cuba mempromosikan apa yang saya ada di Langkawi itu," ujar Ahmad Faizal lagi.