GEORGE TOWN: Senarai calon Gerakan yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pulau Pinang perlu mendapat persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Perikatan Nasional (PN) di Perak pada Sabtu ini.

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata Gerakan berhasrat bertanding empat kerusi Parlimen dan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu namun ia belum dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan PN.

"Kita masih lagi dalam perbincangan mengenai kerusi yang akan ditandingi namun saya percaya kita akan dapat lebih banyak kerusi Parlimen dan DUN untuk PRU15," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Oh, yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat, berkata senarai calon yang bertanding di Pulau Pinang akan dihantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk tapisan pada minggu depan.

Pada PRU14, Gerakan yang ketika itu masih bersama Barisan Nasional (BN), bertanding 13 kerusi DUN dan empat Parlimen di Pulau Pinang namun tewas di semua kawasan.

Pada 23 Jun 2018, Gerakan secara rasmi keluar daripada BN susulan kekalahan gabungan itu dalam PRU14 dan menyertai PN pada Februari tahun lepas.

-- BERNAMA