KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berpuas hati dengan tahap keselamatan dan kefungsian tempat penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata bomba yang turut terlibat dalam pemilihan lokasi Pusat Penamaan Calon (PPC) telah mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa PRU15 yang diketuai Suruhanjaya Pilihan Raya dan mendapati kesemua PPC di ibu negara dalam keadaan baik dan selamat.

"Pemilihan lokasi oleh jawatankuasa telah melihat kepada pelbagai aspek seperti keselamatan premis, kemudahan penyokong dan aktiviti berkempen di lokasi terlibat. PPC yang dipilih juga diyakini tidak mempunyai sebarang masalah terutamanya risiko kebakaran.

"Kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di ibu negara turut diberi perhatian dan PPC yang dipilih esok adalah selamat, hasil mesyuarat bersama pihak SPR," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata penetapan hari penamaan calon pada hujung minggu turut mengurangkan risiko kesesakan jalan raya berbanding pada hari bekerja.

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya telah membuat pemeriksaan awal terhadap 22 lokasi PPC di negeri itu dengan kesemuanya mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Beliau berkata langkah pembekuan cuti turut dilaksanakan bagi menjamin tahap kesiapsiagaan tertinggi anggotanya esok.

"Bomba dalam keadaan siap siaga di balai, bukan di lokasi bagi mengelakkan syak wasangka orang ramai. Aktiviti lain seperti pemeriksaan pili bomba dan perancangan aktiviti akan ditangguhkan sehingga program (penamaan calon) esok selesai," katanya.

Pengarah JBPM Melaka Abu Bakar Katain berkata beliau berpuas hati dengan tahap keselamatan dan kefungsian enam bangunan dewan yang akan digunakan sebagai PPC.

Beliau berkata pihaknya telah membuat pemeriksaan di PPC bagi Parlimen Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka dan Jasin yang turut melibatkan dewan pusat pengajian tinggi.

"Beberapa perkara juga perlu dipertingkatkan terutamanya peralatan pemadaman api, akses keluar masuk dan petunjuk arah ke tempat berkumpul apabila berlaku kecemasan. Rata-ratanya dalam keadaan terbaik dan kita harap semuanya berjalan lancar esok," katanya.

-- BERNAMA