SEREMBAN: Enam negeri termasuk Negeri Sembilan dijangka tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Negeri Sembilan hanya akan membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir tahun depan dan perkara itu sudah dibincangkan ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

"Kita dah bincang dengan beberapa negeri dalam mesyuarat itu di ibu negara baru-baru ini, ada enam negeri termasuk Negeri Sembilan.

"Keenam-enam negeri mengatakan mereka mungkin akan (menanti hingga) ke akhir tempoh penggal (untuk bubar DUN), saya tak boleh nyatakan negeri mana," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Sistem Mycare di sini hari ini.

Ditanya sama ada negeri terbabit termasuk Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH), Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan hanya memberi isyarat 'mungkin' tanpa menafikan atau mengiyakan perkara itu.

"Yang minta PRU15 segera hanya Barisan Nasional (BN), yang lain tidak minta, dan dalam BN pun, ada yang minta dan ada yang tidak," katanya.

Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 menyaksikan Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor diperintah oleh PH manakala PAS membentuk kerajaan di Kelantan, Terengganu serta Kedah.

-- BERNAMA