KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh dilihat memasuki Istana Negara menerusi Pintu 2 sekitar jam 1.03 petang, hari ini.

Ia dipercayai bagi mempersembahkan keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PRU15 yang berlangsung semalam membawa ketidaktentuan kepada negara dengan Parlimen yang tergantung.

Ia terjadi apabila SPR mengisytiharkan keputusan pilihan raya yang menyaksikan tidak ada mana-mana parti yang mencapai majoriti mudah 112 untuk membentuk kerajaan.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, Perikatan Nasional atau PN (73); Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (6); Warisan (3); Bebas (2) dan Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing meraih satu kerusi.

Awal pagi ini, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa gabungan itu mempunyai bilangan kerusi yang cukup untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu. 

Pada masa sama, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa gabungan politik itu berjaya membentuk kerajaan.

Ditanya bila dokumen pembentukan kerajaan PH akan dihantar ke Istana Negara, Anwar berkata perkara itu akan dibuat sebaik sahaja ia dilengkapkan.

Sementara itu, Muhyiddin turut memaklumkan, telah menerima surat daripada Yang di-Pertuan Agong dan akan memuktamadkan perkara-perkara yang dititahkan sebelum petang ini.