SUNGAI PETANI: Polis Kedah menahan enam individu dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan penyokong parti politik yang berlaku di hadapan Dataran Zero Sungai Petani pada awal pagi Sabtu lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata polis telah mengesan semua suspek terbabit dan menahan mereka di kawasan Jalan Lagenda Heights jam 2 petang Ahad.

“Keenam-enam suspek berusia lingkungan 30-an telah direman selama dua hari dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ni.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 9(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

“Sekiranya disabitkan kesalahan mereka yang terlibat boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Parlimen tergantung, rundingan bentuk kerajaan bermula

Wan Hassan berkata, siasatan polis mendapati pergaduhan berpunca daripada pertembungan dua kumpulan penyokong berlainan parti di tempat kejadian pada jam 2.15 pagi beberapa jam sebelum pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula.

Katanya, ketika itu berlaku pergeselan bendera parti yang mengenai tubuh salah seorang penyokong parti politik.

Beliau berkata kini polis sedang mengesan dua lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan.

Wan Hassan mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut sehingga boleh menggugat ketenteraman awam.