TENOM: Proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Tenom kecoh apabila Unit Simpanan Persekutuan terpaksa dikerahkan bagi meleraikan rusuhan.

Berdasarkan satu video yang tular di media sosial gas pemedih mata juga dilepaskan di kawasan satu kumpulan parti yang mengibarkan bendera logo Parti Kesejahteraan Demoktratik Malaysia (KDM).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan akan membuat sidang media berhubung insiden itu petang ini.

"Sabar... nanti saya akan buat sidang media," katanya ringkas.

Memetik laporan FMT, rusuhan itu berlaku di luar Pusat Penamaan Calon (PPC) yang mana Presiden KDM, Datuk Peter Anthony menyerahkan borang penamaan.


BACA: [LAPOR LANGSUNG] Hari Penamaan Calon: Gelanggang PRU15 sudah dibuka


PRU15: Kekecohan tercetus di Tenom

Jelasnya laporan itu, difahamkan, borang penamaan calon Peter ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana kes mahkamah hingga menyebabkan penyokong cuba merempuh pusat penamaan.

Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah memalsukan dokumen daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.