KUANTAN: Menyelesaikan isu bekalan air antara enam perkara utama digariskan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Pahang yang dinamakan "Ikhtiar Makmur", sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bagi tujuan itu, peruntukan RM2.3 bilion telah diperuntukkan bagi pelaksanaan 217 projek berkaitan bekalan air yang dikenal pasti di seluruh Pahang.

"Kerajaan BN akan berikhtiar supaya sekurang-kurangnya 90 peratus daripada masalah bekalan air dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun, berdasarkan perancangan dan strategi yang dibuat secara teliti," kata Menteri Besar Pahang itu semasa melancarkan manifesto itu secara dalam talian menerusi media sosial pada Jumaat.

Ikhtiar Makmur itu, menurut beliau dibuat berdasarkan prestasi kerajaan negeri dan inti pati Belanjawan Pahang 2023 yang telah diluluskan pada 13 Nov lepas, iaitu sehari sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang supaya pilihan raya negeri dapat diadakan serentak dengan PRU15.

Selain itu, BN Pahang berazam untuk meneruskan dan memperbanyakkan lagi usaha berkaitan kesejahteraan rakyat, termasuk dalam isu perumahan antaranya menerusi pemberian rumah percuma di bawah Rumah Rakyat Pahang dan mengambil alih serta membaik pulih projek perumahan generasi kedua FELDA yang terbengkalai.

Inisiatif Kebanggaan Pahang atau "Pahang Pride" yang meliputi pelbagai golongan seperti pelajar sekolah, siswazah, Orang Asli dan atlet juga akan diteruskan dan ditambah baik, selain yang akan turut diperkasakan ialah ekosistem pendidikan tahfiz.

"Jika terus diberikan mandat (untuk membentuk kerajaan negeri), Kerajaan BN berikhtiar untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda, terutamanya menerusi peningkatan pelaburan baharu yang sedang rancak di Pahang," katanya.

Isu pelancongan juga akan terus dirancakkan supaya Pahang terus menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dan luar negara selain meningkatkan pengeluaran makanan menerusi program pertanian dan penternakan bagi mengatasi isu sekuriti makanan.

Wan Rosdy berkata BN Pahang juga berazam untuk terus mengamalkan pentadbiran berintegriti tinggi, berinovasi dan berdaya maju serta mengawal ketirisan hasil sebaik mungkin, mengambil kira prestasi kerajaan negeri yang cemerlang dalam tempoh empat tahun beliau menerajui pentadbiran negeri.

Pencapaian itu, menurut beliau seperti kejayaan memperoleh kutipan hasil melebihi RM1 bilion buat kali pertama, mengurangkan kadar hutang negeri sebanyak 60 peratus dan peningkatan pelaburan yang memberangsangkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRU15 diadakan pada 19 Nov ini manakala 15 Nov adalah hari pengundian awal.

-- BERNAMA