KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui tabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) mencatat terimaan deposit berjumlah RM17.39 bilion setakat Disember lepas, dengan 6.25 juta akaun direkodkan sejak skim itu diperkenalkan pada 2004.

Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim dalam kenyataan berkata pencapaian membanggakan itu membuktikan usaha PTPTN untuk mentransformasi minda masyarakat agar membudayakan amalan menabung sekali gus mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman diterima baik.

PTPTN dalam kenyataan sama memaklumkan sehingga Disember lepas, agensi itu telah membantu 3.95 juta pelajar melibatkan dana pinjaman dikeluarkan berjumlah RM71.32 bilion manakala sebanyak RM2.91 bilion bayaran balik diterima tahun lepas, peningkatan RM144.37 juta atau 5.21 peratus berbanding 2022.

Sementara itu seiring dengan transformasi pendigitalan, PTPTN sentiasa komited bagi menambah baik aplikasi myPTPTN untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan dan sehingga 31 Dis 2023, lebih 1.1 juta pelanggan telah mendaftar sebagai pengguna myPTPTN.

"Tahun 2023 memperlihatkan usaha PTPTN yang menyeluruh dalam penyampaian perkhidmatan secara digital kepada pelanggan bersifat hujung ke hujung. Aplikasi myPTPTN ini akan membuka ruang dan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila dan di mana-mana sahaja tanpa sempadan dengan lebih mudah, cepat dan selamat," menurut kenyataan itu.

Menurut PTPTN sepanjang 2023 juga, agensi itu proaktif bekerjasama dengan agensi awam dan swasta antaranya kerajaan negeri Sabah melalui Program BAKTI, Program BUDI dan Program BISTARI, kerjasama strategik dengan Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Program Insentif Simpanan Anak Veteran ATM dan Program Dermasiswa.

"Selain itu, sebanyak 18 kementerian dan empat agensi awam peringkat persekutuan dan negeri telah memberikan insentif Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dalam bentuk akaun Simpanan SSPN," menurut kenyataan itu.

Bagi meningkatkan kutipan bayaran balik pinjaman, PTPTN memaklumkan pelbagai kerjasama dilaksanakan termasuk melalui Memorandum Persefahaman dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi Skim Bantuan Penyelesaian Pembiayaan Pendidikan.

"Kerjasama juga diadakan dengan kerajaan negeri Sarawak melalui Yayasan Sarawak selain kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi Insentif Bayaran Balik Anak Asnaf penerima Bantuan Bulanan MUIP," menurut kenyataan itu.

PTPTN juga memaklumkan telah melaksanakan wakaf pendidikan tinggi sebagai antara inisiatif mempelbagaikan sumber dana bagi tujuan pembiayaan pendidikan tinggi dengan memeterai Memorandum Perjanjian bersama Yayasan Waqaf Malaysia pada 22 Feb lepas bagi memastikan pengurusan dan pengagihan Wakaf Tunai PTPTN secara berkesan dan efektif.

-- BERNAMA