Skip to main content

Malaysia

PTTI, Yayasan Hasanah perkukuh persediaan 2,500 pelajar SPM

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar (tengah) menyampaikan tablet kepada wakil pengetua sekolah dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman (dua kanan), bagi kegunaan pelajar terpilih menerusi Program Anak Kita 2.0 (PAK 2.0). - Astro AWANI
Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar (tengah) menyampaikan tablet kepada wakil pengetua sekolah dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman (dua kanan), bagi kegunaan pelajar terpilih menerusi Program Anak Kita 2.0 (PAK 2.0). - Astro AWANI

Advertisement

SEREMBAN: Seramai 2,500 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini menerima manfaat menerusi pelaksanaan Program Anak Kita (PAK) 2.0 hasil kerjasama antara Pusat Tuisyen PTTI, Yayasan Hasanah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program intervensi selama enam bulan itu turut dilaksanakan dengan sokongan Kementerian Kewangan (MoF), Unit Pantau MADANI serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan Negeri Sembilan.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata program berkenaan memberi tumpuan khusus kepada pelajar SPM melalui pengukuhan tiga subjek teras iaitu Matematik, Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Tahun ini kita mensasarkan untuk membantu murid-murid SPM khususnya yang akan menduduki peperiksaan tahun ini."

“Melalui PAK 2.0, seramai 2,500 pelajar mendapat akses kepada pendidikan selain dibantu meningkatkan kemampuan mereka dalam tiga subjek utama,” katanya pada Majlis Anugerah Inspirasi PTTI di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan merangkap Pengarah PAK PTTI, Muhammad Eizlan Haikal Mohamed Eusop berkata pihaknya turut menyalurkan bantuan peranti digital kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.

Menurut beliau, hasil penilaian yang dijalankan sejak Jun lalu mendapati 185 pelajar memerlukan tablet bagi mengikuti pembelajaran dengan lebih berkesan.

“Daripada 2,500 murid yang terlibat dari JPN Melaka dan JPN Negeri Sembilan, kami mendapati seramai 185 murid benar-benar memerlukan tablet untuk akses.”

Daripada jumlah itu, 155 pelajar di Melaka dan 30 pelajar di Negeri Sembilan menerima manfaat berkenaan.

Muhammad Eizlan berkata program itu turut memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan emosi dan kesihatan mental pelajar, selain pencapaian akademik.

Menurut beliau, pengalaman lebih sedekad PTTI dalam bidang bimbingan pendidikan akan dimanfaatkan bagi membantu pelajar meningkatkan pencapaian daripada tahap lemah kepada sekurang-kurangnya memperoleh gred C dalam peperiksaan SPM.

Beliau berkata matlamat utama program berkenaan adalah memastikan faktor ekonomi atau kekangan akses tidak menjadi penghalang kepada pelajar untuk mencapai potensi masing-masing.

 

 

Must Watch Video

Advertisement