Pulangan daripada hasil pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam aset-aset tenaga serta tanahnya akan memakan masa untuk dinikmati berikutan status projek-projek berkenaan yang bersifat jangka panjang, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Bagaimanapun, tegasnya, media sebaliknya terlalu banyak memberi tumpuan terhadap aspek hutang yang dikumpul oleh syarikat pelaburan strategik negara itu iaitu sebanyak RM42 bilion.

BACA: Bank Negara lancar siasatan rasmi ke atas 1MDB
BACA: 1MDB: Arul Kanda dedah butiran terperinci penggunaan dana berjumlah RM42 billion


"Jumlah RM42 bilion tersebut perlu dilihat bukan dalam konteks hutang semata-mata tetapi juga aset-aset, kos kewangan dan dana pemegang saham," katanya menerusi rancangan Dialog Khas '1MDB : Dimana Wangnya' yang disiarkan di saluran TV1 di sini, pada Rabu.

BACA: 1MDB: 'Kenapa sekarang baru Kabinet dimaklum?' - Khairuddin

Ahmad Husni turut menafikan dakwaan serta spekulasi yang dilontarkan oleh pelbagai pihak bahawa RM27 bilion daripada sejumlah RM42 bilion telah 'hilang' atau 'lesap' sedangkan wang berkenaan telah digunakan dalam bentuk pembelian aset oleh syarikat itu.

Terdahulu, 1MDB dalam satu kenyataan hari ini, telah mengeluarkan butiran terperinci penggunaan hutang RM42 bilion yang dinyatakan dalam akaun awam dan diaudit dari 31 Mac 2010 hingga 31 Mac, 2014.