GEORGE TOWN: Keputusan sama ada Pulau Pinang akan menjalani semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sebaliknya akan diketahui selepas mesyuarat teknikal esok.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan pengumuman itu akan dibuat selepas pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti laporan penilaian risiko yang diberikan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang semasa sidang khas Mesyuarat Pengurusan COVID-19 yang diadakan petang Jumaat.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kon Yeow berkata pihaknya kini bersiap sedia dengan segala kemungkinan.

"Sejurus mesyuarat itu, saya telah  mengadakan perbincangan lanjut dengan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Pengarah MKN negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri serta hadir secara dalam talian adalah Ketua Polis negeri dan Datuk Bandar bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan berhubung tindakan lanjut serta persediaan yang perlu diambil dalam menempuh tempoh getir ini.

"Kementerian Kesihatan pada mesyuarat sama turut berkongsi bahawa kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital rawatan COVID-19 di Pulau Pinang sehingga hari ini telah mencecah 83 peratus," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pulau Pinang yang mencatatkan 313 kes baru hari ini masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beberapa negeri sudah menjalani PKP semula susulan peningkatan kes mendadak antaranya di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, beberapa daerah serta mukim di Johor, Perak dan Terengganu.

Selain itu, PKP turut dikenakan di enam daerah di Selangor bagi membendung penularan wabak COVID-19.